KEHIDUPAN INI sebenarnya penuh dengan prasangka, dan kadang-kadang orang lain akan menyalahtafsirkan tentang apa-apa pun yang telah kita lakukan, walaupun pada amnya apa yang telah kita lakukan itu adalah suatu perkara yang terbaik.
Demikianlah, kehidupan kita sekarang ini, penuh teka-teki dan adakalanya dipenuhi duka. Bukan kita puncanya, bahkan kita telah melakukan yang terbaik, tapi orang tersalahtafsir sehinggalah kita sendiri menjadi mangsa.
Pernahkah kamu mengalaminya? Andainya kamu telah melakukan sesuatu dengan seikhlasnya, malah kamu telah berkorban bukan sahaja tenaga tetapi mungkin juga dengan wang ringgit, tetapi tiba-tiba orang mengatakan bahawa kamu ada tujuan tertentu berbuat demikian. Bagaimanakah perasaan kamu? Sakit hati? Marah?
Pada hakikatnya, kita tidak pernah berjumpa dengan orang yang sama seperti kita di dalam kehidupan ini dan kita tidak akan menemuinya. Manusia tidak pernah ada persamaannya, walaupun sepasang kembar sekalipun, pasti ada perbezaannya.
Apalagi dengan seseorang yang hanya berkongsi minat yang serupa dengan kita, dan banyak lagi perbezaannya kalau kita mahu melihat. Apa yang kita sangkakan sama pun berbeza, lebih-lebih lagi yang memang berbeza dengan kita.
Demikianlah, betapa sakitnya hidup. Dari satu sudut kita akan melihat kehidupan itu sendiri amat mencabar, kerana terpaksa hidup bersama dengan mereka yang amat berbeza dengan dengan kita, kita berniat baik disangka jahat, kita ikhlas disanga ambil kesempatan, kita berlembut dikata tak tegas, kita kerap memberi dikata menunjuk.
Begitulah sikap manusia, yang mudah membuat kesimpulan mengikut arus beta dan gamma yang mereka miliki. Mudahnya mereka membuat kesimpulan mengikut apa yang dibisikkan syaitan kepada mereka. Di manakah ikhtikad mereka dalam membuat kesimpulan yang tidak berasas?
Tetapi ketahuilah bahawa di situlah keunikan kita bahkan kalau kita melihatnya dari sudut motivasi, disitulah akan memperlihatkan kehebatan kita yang tersendiri sebagai seorang manusia. Bayangkanlah, tanpa mereka yang memperkecilkan kita, tanpa mereka yang memandang rendah pada keupayaan kita, tanpa mereka yang menyusahkan hidup kita, kita tidak akan berpeluang untuk menunjukkan kebolehan yang ada pada kita.
Manusia memang memerlukan cabaran untuk lebih bertenaga. Tanpa cabaran, tanpa ujian, manusia akan menjadi lebih lemah, malas dan kurang bertenaga. tanpa ujian, manusia akan hidup dalam kabus dan apabila kabus telah tebal kita tidak akan melihat langkah sendiri dan jika kabus nipis mungkin akan tersalah langkah.
Kalau kita mahu berfikir secara positif, kita akan mendapat semua kebaikan yang tersembunyi disebalik masalah yang terpaksa dihadapi. Sebaliknya, kalau kita selesa berfikiran negatif, kita akan melihat semua keburukan yang ada di persekitaran kita, dan langkah kita sendiri pun akan terasa sumbang.
Kalau kita dilanda musibah misalnya, ingatlah orang lain juga begitu, cuma yang menjadi bezanya ialah jenis, masa, apa dan siapa yang menyebabkannya berlaku. Begitulah juga jika kita gembira, orang lain juga begitu, dan setiap kegembiraan ada masanya akan tenggelam oleh ujian dan cubaan yang sentiasa berada di hadapan kita.









