SUDUT MOTIVASI

KEHIDUPAN INI sebenarnya penuh dengan prasangka, dan kadang-kadang orang lain akan menyalahtafsirkan tentang apa-apa pun yang telah kita lakukan, walaupun pada amnya apa yang telah kita lakukan itu adalah suatu perkara yang terbaik.

Demikianlah, kehidupan kita sekarang ini, penuh teka-teki dan adakalanya  dipenuhi duka. Bukan kita puncanya, bahkan kita telah melakukan yang  terbaik, tapi  orang  tersalahtafsir  sehinggalah kita sendiri menjadi mangsa.

Pernahkah kamu mengalaminya? Andainya kamu telah melakukan sesuatu dengan seikhlasnya, malah kamu telah berkorban bukan sahaja tenaga tetapi mungkin juga dengan wang ringgit, tetapi tiba-tiba orang mengatakan bahawa kamu ada tujuan tertentu berbuat demikian. Bagaimanakah perasaan kamu? Sakit hati? Marah?

Pada hakikatnya, kita tidak pernah berjumpa dengan  orang yang  sama  seperti kita  di dalam kehidupan ini dan kita tidak akan menemuinya. Manusia tidak pernah ada persamaannya,  walaupun sepasang kembar sekalipun, pasti ada  perbezaannya.

Apalagi dengan seseorang yang hanya berkongsi minat yang serupa dengan kita, dan banyak lagi perbezaannya kalau kita mahu melihat. Apa yang kita sangkakan sama pun berbeza, lebih-lebih lagi yang memang berbeza dengan kita.

Demikianlah, betapa sakitnya hidup. Dari satu sudut kita akan melihat kehidupan itu sendiri amat mencabar, kerana terpaksa hidup bersama dengan mereka yang amat berbeza dengan dengan kita, kita berniat baik disangka jahat, kita ikhlas disanga ambil kesempatan, kita berlembut dikata tak tegas, kita kerap memberi dikata menunjuk.

Begitulah sikap manusia, yang mudah membuat kesimpulan mengikut arus beta dan gamma yang mereka miliki. Mudahnya mereka membuat kesimpulan mengikut apa yang dibisikkan syaitan kepada mereka. Di manakah ikhtikad  mereka dalam membuat kesimpulan yang tidak  berasas?

Tetapi ketahuilah bahawa di situlah keunikan kita bahkan kalau kita melihatnya dari sudut motivasi, disitulah akan memperlihatkan kehebatan kita yang tersendiri sebagai seorang manusia. Bayangkanlah, tanpa mereka yang memperkecilkan kita, tanpa mereka yang memandang rendah pada keupayaan kita, tanpa mereka yang menyusahkan hidup kita, kita tidak akan berpeluang untuk menunjukkan kebolehan yang ada pada kita.

Manusia memang memerlukan cabaran untuk lebih bertenaga. Tanpa cabaran, tanpa ujian, manusia akan menjadi lebih lemah, malas dan kurang bertenaga. tanpa ujian, manusia akan hidup dalam kabus dan apabila kabus telah tebal kita tidak akan melihat langkah sendiri dan jika kabus nipis mungkin akan tersalah langkah.

Kalau kita mahu berfikir secara positif, kita akan mendapat semua kebaikan yang tersembunyi disebalik masalah yang terpaksa dihadapi. Sebaliknya, kalau kita selesa berfikiran negatif, kita akan melihat semua keburukan yang ada di persekitaran kita, dan langkah kita sendiri pun akan terasa sumbang.

Kalau kita dilanda musibah misalnya, ingatlah orang lain juga begitu, cuma yang menjadi bezanya ialah jenis, masa, apa dan siapa yang menyebabkannya berlaku. Begitulah juga jika kita gembira, orang lain juga begitu, dan setiap kegembiraan ada masanya akan tenggelam oleh ujian dan cubaan yang sentiasa berada di hadapan kita.

Dikirim dalam Motivasi. Label: . Leave a Comment »

SEMALAM YANG KUTINGGALKAN

Wajah duka

pada gemersik rasa

menyindir sinis sanubari

adalah citra semalam yang kutinggalkan

Dan hari ini

pudarlah segala sirna

menghambat peribadi

yang terpantul mesra

pada satu kehidupan

- yang hanya sementara.

Semalam yanng kutinggalkan

bertapak seketika di persada kematangan

akal dan budi

pada hijrah kematangan

dan sejarah awalnya

- kepesatan tidak terbatas

demi untuk hari ini

Dan..

akan terealisasilah

unjuran kemantapan rohani

juga kekuatan iman…

Dikirim dalam Sajak. Leave a Comment »

PERJALANAN KITA MASIH PANJANG

HARI INI , bukanlah seperti semalam yang telah kita tinggalkan dan tidaklah serupa seperti hari esok yang akan kita hadapi. Walaupun begitu, tidak seharusnya kita , untuk tunduk dan berserah pada kehendak masa mahupun keaadaan, yang senantiasa menghambat setiap perjalanan kita. Oleh itu,sebagai seorang insan yang dilahirkan berakal, walaupun kita tidak dikategorikan sebagai makhluk ALLAH yang lengkap, tetapi, adalah wajar untuk kita mensyukuri segala rahmat dan nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita seadanya. JIKA kita renung dan fikirkan tentang setiap langkah yang telah kita tinggalkan jauh di belakang kita, tidak mustahil, jika kita akan bertanya pada diri kita sendiri tentang apa yang telah kita perbuat dan apa yang telah kita perolehi.

SEMEMANGNYA , kita adalah diri kita sendiri dan bukanlah diri orang lain,maka oleh yang demikian kita tidak berhak untuk mempertikaikan siapa diri kita, tetapi apa yang penting adalah objektif dan tujuan kita menjalani kehidupan yang hanya sementara ini dan seharusnya, kita mencari ke manakah arah perjalanan kehidupan ini. Perjalanan kita masih panjang dan jauh ke hadapan, yang sememangnya dipenuhi dengan ranjau berduri sebagai halangan untuk kita dari terus melangkah. Walaupun demikian kita perlu menanamkan semangat ingin maju dan siap sedia untuk bersaing dengan mana-mana individu atau kumpulan yang berhasrat untuk meruntuhkan niat atau yang berusaha untuk menggagalkan usaha atau hasrat yang telah kita bina. Kita pasti akan berjaya, dan andaikata kita menemui jalan buntu, dan tewas, kita tetap telah menang kerana kita sudah mempunyai pengalaman untuk kita membaikpulih kesilapan kita yang lalu dan ini akan menguatkan lagi sistem pertahanan atau imun ke atas diri kita mengatur untuk kembali gerak yang terkandas.

Begitulah lumrah kehidupan, yang sememangnya satu perjalanan yang masih panjang dan tidak akan pupus sehinggalah dunia ini punah dan luluh ditelan zaman. Musim silih berganti, zaman sentiasa bertukar wajah dan begitulah juga dengan manusia, yang mana setiap saatnya sentiasa ada yang baru dilahirkan dan belum tahu apa-apa lagi. Dari situlah perjalanan awal manusia bermula dan kemudiannya diikuti waktu peralihan diantara awal dan pertengahan, dan di situlah kita perlu merancang strategi dan usaha kita untuk satu kehidupan yang abstrak dan berideologi.Akhirnya, sampailah pula langkah, langkah kita yang terakhir iaitu usia tua kita yang setiap satu persediaan atau pertahanan yang kita bina akan diuji ketika ini. Ini terpulanglah kepada diri kita samada kita menang mahupun tewas. WALLAHUALAM… HANYA TUHAN YANG EMPUNYA KUASA.

Dikirim dalam Renungan. Label: . Leave a Comment »